Friday, April 4, 2008

bab tiga belas: Apa Beza Nikah Misyar, Suami Pinjam ,Tabung Sperma

KISAH yang dipaparkan minggu ini bukan dua cerita seperti yang berturut-turut minggu lepas mengenai anak-anak yang lupakan ibu bapa setelah berumah tangga, yang bertajuk `anak disekat jujmpa ibu lepas kahwin’ atau `jangan ugut suami bencikan ibu’.

Namun kisah minggu ini agak berlainan sedikit, ia merupakan luahan hati seorang pembaca, selain menjadi pembaca setia DCCK, yang saya namakan Nurameera, beliau juga seorang penulis terkenal, dan katanya dia merupakan orang yang paling sesuai memperkatakan isu kahwin misyar ini, kerana kedudukan dirinya sendiri. Bagaimana pun tak perlulah saya ceritakan siapa beliau sebenarnya biarlah kita baca pandangan beliau seperti yang dipaparkan di bawah ini untuk menjadi renungan kita bersama.

Katanya dia begitu tertarik hati dengan isu hangat yang dipaparkan dalam akhbar akhir bulan Mei lalu iaitu mengenai isu kahwin misyar yang menjadi perbincangan panas kaum lelaki hingga menarik perhatian Sheikh Azhar Dr. Mohamed Sayed Tantawi untuk memberi pandangan beliau. Demikian menurut Nurameera dalam e-melnya kepada penulis.

``Tidak keterlaluan kalau saya katakan isu perkhwinan tak kiralah berpoligami atau yang pernikahan misyar ini sentiasa menarik perhatian kaum lelaki untuk membincangkannya selain menjadi tajuk hangat perbincangan mereka. Kaum lelaki seolah-olah mendabik dada memberitahu kaum wanita, bahawa mereka banyak keistimewaan dan kelebihan hidup baik di dunia ataupun akhirat diberikan oleh Allah berbanding wanita.

``Kata mereka itu baru kehidupan di dunia, belum lagi di syurga, mereka akan disediakan bidadari jelita, kaum wanita dapat apa? Jadi mereka boleh berbuat apa sahaja dalam kehidupan ini, kerana kelebihan dan keistimewaan dilahirkan sebagai lelaki.

``Namun pandangan ikhlas yang saya ingin berikan di bawah ini baik untuk dipertimbangkan oleh gadis-gadis sama ada yang masih muda remaja ataupun yang sudah lanjut usia. Terutama kepada ibu-ibu tunggal yang belum tahu secara lebih mendalam tentang perkahwinan misyar ini sebenarnya.’’

Demikian tambah beliau lagi ketika kami berbual di telefon baru-baru ini setelah beliau membaca banyak rencana di akhbar yang membincangkan pasal nikah misyar dan ramai pula kaum lelaki yang menyokongnya, tidak kurang persatuan ibu tunggal.

``Pada pandangan saya masih ramai gadis yang tidak faham apa sebenarnya perkahwinan misyar ini, di mana status mereka dan apa kesudahan hidup mereka nanti, jika perkahwinan itu mereka terima. Dan yang lebih penting apakah mereka tahu tujuan nikah misyar ini diwar-warkan ataupun diwujudkan di kebanyakan negara-negara Islam rantau Teluk.

``Pada pandangan saya, perkahwinan misyar ini lebih banyak memihak dan berfaedah kepada kaum lelaki saja bukan kepada kaum wanita. Jadi sebelum wanita setuju pernikahan misyar ini fikirkan masak-masak tanggungjawab yang bakal mereka pikul nanti dan jangan salahkan orang lain pulak, atau jabatan agama kerana mengizinkan mereka bernikah.

``Daripada apa yang saya dapat rumuskan dari setelah membaca beberapa rencana yang dipaparkan jelaslah, nikah misyar ini adalah pernikahan yang semata-mata bertujuan untuk menghalalkan persetubuhan, dan lebih menarik dengan pernikahan ini ia langsung tidak ada sebarang ikatan tanggungjbawab material, termasuk tanggungjawab emosi ataupun moral daripada kedua belah pihak, sama ada lelaki ataupun perempaun.

``Sedangkan tanggungjawab merupakan perkara utama yang wujud dalam fitrah perkahwinan kepada seorang lelaki terhadap wanita yang dinikahinya. Kalau lelaki berkahwin dan tidak tahu tanggungjawab kepada keluarganya, apa akan jadi kepada keluarganya nanti?

``Dengan erti kata yang lebih mudah, atau secara kasarnya, hubungan lelaki dan wanita melalui pernikahan cara ini lebih kurang sama macam hubungan jantina dalam dunia haiwan. Apabila sampai masa untuk membiak, maka haiwan-haiwan itu pun mengawanlah. Sesudah itu, haiwan jantan meninggalkan haiwan betina.

``Mata tinggallah haiwan betina itu bukan sahaja untuk mengurus dirinya bahkan juga melindungi dan mencari makan untuk anak-anak hasil hubungannya itu. Bahkan dalam habitat-habitat tertentu, si ibu terpaksa melindungi anak-anaknya daripada dimakan oleh si bapa. Jadi, andai kata ada ibu-ibu tunggal (khusus, presidennya) yang berharap pernikahan ini akan dapat memberikan mereka rakan untuk dijadikan tempat mencurah gundah-gulana di hati, mereka sebenarnya under a delusion bak kata orang putih - menipu diri sendiri.

``Bahkan Dato Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan pun mengiktirafkan pernikahan misyar ini adalah untuk seks. Seks semata-mata tidak lebih daripada itu. Apakah kaum wanita sanggup? ``Oleh kerana pernikahan ini semata-mata untuk seks, sudah pastilah ia dapat menghalang perbuatan maksiat, khususnya di kalangan remaja. Di Malaysia ini memang banyak berlaku maksiat sebab itu kita sering membaca berita tentang pembuangan bayi di akhbar-akhbar.

``Rumah- rumah perlindungan wanita, antaranya seperti ‘Rumah Solehah’ juga penuh dengan ibu-ibu yang mengandung tanpa suami. Tetapi pembaca mestilah ingat penghuni-penghuni rumah itu bukanlah dari golongan wanita profesional yang menjadi tumpuan perbincangan Prof Datuk Dr. Mahmud Zuhaidi Abdul Majid tentang pernikahan Misyar ini.

``Untuk pengetahuan semua wanita atau gadis profesional tidak menimbulkan masalah kerana kebanyakan mereka terlalu dewasa untuk terjerumus ke lembah itu apa lagi menghuni Rumah Solehah. Mereka amat rasional, banyak tanggungjawab dan terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk membuang masa membuat maksiat.

``Kalau tak percaya tanyalah Presiden Sisters in Islam, Dato’ Zainah Anuar, Pengerusi Suruhanjaya Bursa Saham Malaysia, Dato’ Azalina Othman Said, Menteri Belia dan Sukan kita atau pun Siti Nurhalizah puteri pop kita yang sudah bergelar jutawan tu. Mereka antara tiga contoh wanita profesional yang berjaya dan masih belum berumah tangga. Begitu juga ramai wanita profesional lain yang memegang jawatan-jawatan tinggi di jabatan-jabatan, kementerian mahupun di syarikat swasta.

``Golongan yang bermasalah adalah pelajar-pelajar (termasuk dari IPTI) dan gadis-gadis yang tidak berpendidikan dan berpendapatan rendah atau pekerja-pekerja di pusat-pusat hiburan, anak-anak dari keluarga bermasalah atau ibu-ibu tunggal yang ketandusan seks.

``Tidak keterluan kalau dikatakan termasuk para isteri yang tidak bahagia di samping suami masing-masing, sama ada berpunca daripada masalah kewangan, emosi ataupun masalah kepuasan seks. Merekalah yang kerap ditangkap khalwat di dada-dada akhbar. Bukan wanita professional. Kalaupun mungkin ada jumlahnya cuma sekelumit sahaja.

``Namun kalau pernikahan jenis ini hendak diterima pakai oleh jabatan agama Islam di sesebuah negeri, siapa akan bertanggungjawab ke atas anak-anak nikah misyar yang bakal dilahirkan nanti? Adakah mereka menjadi tanggungjawab jabatan agama negeri atau kerajaan negeri? Sebab kita sedia maklum siayah tidak mahu pikul beban membesarkan anak-anak tersebut, mereka tidak boleh dihadapkah ke mahkamah syariah apa lagi dijatuhi hukuman penjara sebab tidak beri nafkah anak. Kerana mereka nikah Misyar.

``Akibatnya sudah pastilah jumlah anak-anak yang bakal dilahirkan tentulah berlipat kali ganda ramainya daripada sekarang sedangkan gadis-gadis itu tidak berkemapuan untuk menanggung beban memelihara anak. Atau adakah bayi-bayi itu akan diletak di bawah program anak angkat? Jika terlalu ramai, adakah kita akan mengeksport mereka dan jadikan ini sebagai satu industri negara? Oops! Maaf !

``Bagi wanita profesional yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi pula, pernikahan Misyar ini memang menguntungkan mereka. Sebabnya amat banyak antaranya;

``Pertama, anggaplah lelaki yang nikah misyar ini sebagai penderma sperma. Kalau mereka tuntut bayaran, taraf mereka dengan sendirinya jatuh kepada taraf lelaki gigloo. Kedua, tak perlu turun naik mahkamah syariah berebutkan anak. Ketiga, pernikahan jenis ini tidak membebankan wanita-wanita profesional yang sibuk itu dengan tanggongjawab sebagai suri rumah. Keempatnya, mereka tidak perlu melayan kerenah atau ego lelaki sebab dia datang sekejap untuk memberi khidmat dan kemudiannya pergi.

``Kelima, lelaki itu tidak boleh menuntut harta sepencarian sebab dia tidak menyumbang kepada pendapatan keluarga. Keenam, wanita ini tidak terikat kepada lelaki tersebut dalam erti kata perkahwinan normal yang menuntut kepatuhan maksima di pihak isteri. Dia bebas membuat apa dia sesuka hati tanpa susah payah meminta izin apabila dia mahu melakukan sesuatu kerana dia yang menyara kehidupan keluarganya.

``Sebenarnya ada banyak lagi kebaikan kepada wanita profesional tetapi cukuplah setakat enam ini sahaja sebagai contoh mudah untuk dijadikan bahan renongan bersama kita bersama terutama mereka yang teringinkan pernikahan Misyar.

``Pokoknya, mesti ada perjanjian atau kontrak seperti kata oleh Dato’ Nik Aziz. Kontrak pula mesti menguntungkan kedua-dua belah pihak supaya tidak timbul dakwa dakwi kemudian hari. Baik pihak lelaki mahupun wanita.

``Cuma masalahnya, adakah lelaki begini, khusunya lelaki profesional seperti kata Prof Datuk Dr. Mahmud Zuhaidi bersedia menjadi suami Pernikahan Misyar kepada wanita professional ini? Atau, sanggupkah satu ketika nanti dia membenarkan anak-anaknya sendiri menjadi isteri atau suami Misyar?

``Biasanya sudah pasti ibu bapa profesional tidak akan memilih lelaki sembarangan untuk menjadi ayah kepada anak-anak mereka. Islam menekankan sekufu dalam perkahwinan – dari segi pemikiran, pendapatan dan keturunan.

``Bak kata Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew, hanya ibu bapa yang bergeliga otaknya sahaja yang akan menghasilkan anak-anak yang begeliga otaknya. Sebab itulah di Amerika Syarikat, mereka yang mahu menderma sperma dikehendaki melalui satu ujian IQ dan juga kesihatan. Butiran tentang penderma juga dicatat dengan jelas. Cara ini memang haram di Malaysia, namun kini ia boleh dilakukan, jawapannya ialah suami Misyar. Jadi bersediakan lelaki profesional di Malaysia menjadi suami Misyar?

``Jika bersedia, wajarlah kita menubuhkan unit khas, jabatan atau apa saja untuk kumpulkan lelaki professional bagi dijadikan suami Misyar, secara sah bukan tabung sperm seperti di Amerika. Dengan wujudkan unit khas ini mudahlah wanita professional yang memerlukan anak atau khidmat mereka membuat pilihan.’’ Demikian menurut pandangan Nurameera tentang pernikahan Misyar.

Teringat lebih 15 tahun lalu saya pernah memaparkan pandangan ikhlas seorang gadis bernama Nor yang ingin mencari suami orang untuk dipinjam dijadikan suaminya sementara, syaratnya setelah dia selamat melahirkan anak, maka gugurlah talaknya. Katanya dia tak mahu suami cuma mahukan zuriat. Kerana emaknya mahu dia ada anak sendiri.

Sebab utama Nor tak mahu suami cuma mahukan anak saja kerana dia mendapati ramai suami kini tidak bertanggungjawab. Namun hasrat Nor sudah tentu mendapat tentangan keras daripada ramai kaum lelaki, kerana terasa diri mereka terhina. Mereka rata-rata menyalahkan Nor kerana tidak faham apa fungsi suami dalam Islam sebenarnya.

Tetapi apa pula pandangan mereka dengan cadangan suami pernikahan Misyar ini, rasanya tidak jauh bezanya dengan suami pinjam sementara mendapatkan anak saja, cuma carinya saja yang berbeza tetapi matlamatnya sama. Fikirkanlah apakah kaum lelaki professional mahu diri mereka menjadi suami Misyar atau suami pinjam? Fikirkanlah.
(sumber: www.dcckmona.com)

No comments: