Malaysia tak boleh halal kahwin misyar
Oleh Halina Mohd NoorPerhimpunan Perundangan Islam berpusat di Makkah benar lelaki amalkan nikah ‘pengembara’PERKAHWINAN misyar yang bertujuan sekadar menghalalkan hubungan seksual tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dianggap menghina wanita dan boleh disamakan seperti ‘pelacuran berbentuk halal’ yang hanya mempergunakan kesucian akad nikah. Malah, ia dikatakan amalan perkahwinan terburuk pernah diluluskan dalam sejarah perundangan Islam selepas perkahwinan mutaah yang menimbulkan kontroversi. Amalan ini tidak sesuai sama sekali, terutama pada saat wanita hari ini terpaksa berdepan pelbagai dilema suami yang mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkan anak isteri sesuka hati tanpa nafkah atau selepas berlaku perceraian.Beberapa tokoh agama yang dihubungi di negara ini turut menolak dan tidak bersetuju sama sekali perkahwinan misyar diamalkan di negara ini kerana konsepnya yang hanya menguntungkan lelaki semata-mata.Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menegaskan kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil seseorang wanita sebagai isteri bersama tanggungjawab ditentukan syarak.“Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan, mahupun diterima masyarakat di negara ini. Sepanjang pengetahuan saya, belum pernah lagi berjumpa dengan amalan perkahwinan seumpama ini. Ia lebih teruk daripada mutaah. “Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar. Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita. Jadi perkahwinan misyar tidak seharusnya dibolehkan apatah lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan. Tiada sebab ia perlu dihalalkan,” katanya.Dalam hubungan ini, sungguh pun wanita itu sendiri reda dengan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana letak maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk melepaskan nafsunya. Tidak dapat dibayangkan betapa perkahwinan seumpama itu boleh mengucar-kacirkan institusi kekeluargaan hari ini yang semakin menuju kehancuran. Jika dibenarkan, maka mudahlah wanita dikahwini dan ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah.Sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Makkah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan misyar, 12 April lalu. Peguam Syariah dan Perunding Keluarga Islam, Prof Madya Noor Awang Hamat, berkata konsep perkahwinan misyar tiada bezanya dengan pelacuran apabila lelaki bebas menikahi mana-mana wanita yang disukainya dan menceraikannya sesuka hati selepas beberapa hari bernikah. Begitu juga sebaliknya, wanita boleh menikahi mana-mana lelaki yang disukainya. “Misyar bertentangan sama sekali dengan konsep asal perkahwinan yang bertujuan memelihara kesejahteraan wanita dan anak yang dilahirkan. Masyarakat kita tidak boleh menerima amalan ini sebab al-Quran sudah menetapkan perkahwinan itu yang berlandaskan mawaddah warrahmah (kasih sayang) yang tidak dapat diperoleh daripada misyar,” katanya.Beliau berkata, perkahwinan misyar mengetepikan hak wanita sebagai isteri tidak terlaksana yang sudah pasti melanggar hukum syarak. Walaupun isteri reda, wanita harus sedar perkahwinan berkenaan sekadar memberikan kepentingan kepada satu pihak semata-mata iaitu suami.Beliau turut berpendapat perkahwinan misyar hanya akan memburukkan lagi keadaan yang dialami wanita hari ini yang diabaikan suami dari segi pemberian nafkah dan tanggungjawab lain. “Alasan mengamalkan misyar untuk mengelakkan perzinaan tidak boleh diterima kerana Islam memberikan alternatif lebih baik untuk tujuan berkenaan seperti poligami. Poligami sudah cukup untuk membendung gejala zina, tetapi malangnya masyarakat tidak mendapat maklumat tepat mengenainya menyebabkan poligami dianggap sesuatu yang negatif semata-mata. “Kita tidak boleh samakan keadaan di sini dengan lelaki di Arab Saudi kerana dari segi kewangan mereka lebih dominan dan akur dengan undang-undang syariah,” katanya.Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim turut menolak amalan perkahwinan misyar yang dianggap menzalimi wanita.“Dalam keadaan perkahwinan yang mengikut hukum syarak pun masih ramai yang sanggup mengabaikan tanggungjawab, inikan pula dengan perkahwinan misyar. Ia tiada beza dengan mutaah, tetapi lebih teruk kerana menganggap wanita sekadar tempat memuaskan nafsu. Perkahwinan pada dasarnya untuk memelihara wanita dan zuriat yang dilahirkan bukan untuk dipermain-mainkan,” katanya.Beliau berkata, perkahwinan bukan sekadar untuk memuaskan nafsu, tetapi banyak lagi tuntutan lain yang perlu dipenuhi. Antaranya menyediakan keperluan asas seperti tempat tinggal, makan, pakai dan perbelanjaan lain. Persoalannya, apakah nasib yang bakal ditempuhi wanita selepas diceraikan melalui perkahwinan misyar? Wanita tidak seharusnya terus dibiarkan terabai dengan pemikiran radikal seperti ini yang hanya merugikan wanita. Perkahwinan yang ditetapkan oleh hukum syarak sudah sempurna di mana pasangan hidup bersama dan memikul tanggungjawab masing-masing sehingga ke akhir hayat. Ironi sekali apabila kajian Arab News ke atas 60 lelaki yang menyatakan persetujuan mengamalkan perkahwinan ini, tetapi tidak akan membenarkan ia terjadi ke atas anak atau adik perempuan mereka.Sumber: Berita Harian Online
Friday, April 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment