Friday, April 4, 2008
Bab satu: kahwin misyar
Pencetus polemik 'kahwin misyar', Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid mendakwa perdebatan mengenai konsep perkahiwnan berkenaan sudah menyeleweng jauh dari konsep dan tujuan asal cadangan beliau. "Perdebatan kahwin misyar ini sudah jauh menyeleweng, ia penuh dengan prejudis dan pandangan-pandangan yang melampau. "Lelaki dan perempuan nampaknya menjadi emosi ketika membincangkan isu ini. Sepatutnya kita menjadi orang yang sanggup mendengar dan bersabar dalam membincangkan isu ini. Mana tahu mungkin ada kebaikannya,"ujar beliau ketika dihubungi hari ini. Dr Zuhdi yang merupakan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya mahu semua pihak yang berminat dengan isu tersebut, supaya kembali menghayati apa sebenarnya yang beliau sarankan. "Konsep kahwin misyar yang saya maksudkan ialah perkahwinan antara perempuan yang berpendapatan tinggi dan berpangkat dengan lelaki yang lebih rendah pendapatannya. Saya tidak galakkan mereka duduk berasingan selepas berkahwin. "Dalam perkahwinan itu pihak perempuan bersetuju suaminya yang berpendapatan rendah tidak menanggung nafkah zahirnya, memadai memberikannya kasih sayang, menjadi pemimpin keluarga dan menunaikan tanggungjawab yang lain. "Saya tidak kata lelaki lari daripada tanggungjawab sebagai suami. Peranan sebagai suami tetap diteruskan, anak-anak terus diberikan perhatian.Cuma suami diringankan tanggungan dari aspek kewangan, itupun selepas ada persetujuan bersama," jelas beliau. Menurut beliau, kawin misyar juga tidak bererti suami melepaskan terus tanggungjawab menyara keluarga. Bukan untuk berpoligami "Atas persetujuan bersama, suami berkenaan menyara keluarganya mengikut kemampuannya dengan dibantu oleh isterinya yang berpendapatan lebih tinggi,"jelasnya lagi. Malah, katanya, ikatan suami isteri yang bermula dengan perkahwinan misyar juga boleh ditukar menjadi perkahwinan biasa jika ditakdirkan selepas berkahwin mereka, pekerjaan dan pendapatan suami bertambah baik. Beliau juga menegaskan, saranannya juga tidak menyentuh soal poligami kerana beliau menyarankan wanita berpangkat dan berada berkahwin dengan lelaki berpendapatan rendah, bukan berkahwin dengan suami orang. "Saya rasa sudah sampai masanya masyarakat kita berhenti memandang serong pada perkahwinan tidak sama taraf atau tidak sekufu. Kita perlu berlaku adil pada wanita-wanita yang sanggup berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah pangkat atau kedudukannya,"ujar beliau. Menurutnya lagi, soal konsep perkahwinan misyar disalahgunakan juga tidak timbul kerana dalam perkahwinan biasapun banyak berlaku penyelewengan. "Saya menyetujui konsep kahwin misyar ini kerana saya lihat ia mampu mengatasi masalah andartu atau ibu tunggal yang semakin ramai. Saya tidak nampak bagaimana ia menjatuhkan martabat wanita kerana semua dibuat atas persetujuan bersama,"tambah beliau. Dr Zuhdi juga menjelaskan, perkahwinan misyar juga tidak akan menimbulkan masalah pengabaian tanggungjawab terhadap anak-anak, harta sepencarian dan soal faraid kerana semua hukum itu telah termaktub dalam al-Quran dan perlu dipatuhi oleh pasangan suami-isteri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment