Friday, April 4, 2008
bab sembilan: kahwin misyar
ISU perkahwinan misyar yang dicadang diperkenalkan di negara ini menimbulkan polemik hebat berikutan perdebatan di kalangan ulama yang bersetuju dan sebaliknya. Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid menganggap misyar kaedah terbaik mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin selain mengurangkan maksiat. Mahmud Zuhdi mencadangkan lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar kerana kebelakangan ini ramai wanita yang mementingkan kerjaya tidak berkahwin sehingga sanggup menjadi andartu. Perkahwinan misyar yang bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi memadai hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong kenyataan itu kerana berpendapat perkahwinan misyar juga dibenarkan dan tidak bercanggah dengan hukum Islam, asalkan seseorang wanita itu bersetuju. Bagaimanapun, beliau menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin misyar membuat perjanjian bertulis mengenai kesediaan wanita yang ingin dikahwini itu bagi mengelak masalah berbangkit pada masa depan. “Wanita perlu membuat pengakuan bertulis bahawa dia sanggup tidak diberi nafkah zahir atau melakukan giliran kerana bersedia menanggung risiko. “Soal menghina wanita tidak berbangkit sama sekali kerana wanita sudah bersetuju berkahwin dengan cara itu, tambahan pula ia tidak salah dari segi hukum. “Itu hak wanita, jika dia kaya bukan setakat duit malah rumah pun dia boleh beri kepada suami yang hendak dikahwininya,” katanya. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil pula berpendapat perkahwinan misyar tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana ia bukan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ramai wanita tidak berkahwin, tambahan keadaannya belum kritikal. Sebaliknya, beliau berkata, konsep perkahwinan mengikut ajaran Islam yang meletakkan tanggungjawab menanggung isteri dan keluarga dipikul suami. Kenyataan itu turut mendapat sokongan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz kerana mengikut Islam, suami sebenarnya diwajibkan mencari nafkah untuk menanggung isteri dan keluarganya. Menurutnya, jika lelaki itu tidak berkemampuan untuk berpoligami, lebih baik dia hanya mempunyai seorang isteri Katanya, perkara mengenai tanggungjawab suami mencari nafkah untuk isteri ada terkandung dalam ayat 34 surah An-Nisa yang bermaksud: “Lelaki (suami) adalah ketua yang bertanggungjawab ke atas wanita (isteri), sebab itu Allah melebihkan kaum lelaki itu dengan beberapa kelebihan dan mewajibkan lelaki (suami) membelanjakan sebahagian hartanya untuk rumah tangga mereka.” Berdasarkan ayat itu, katanya Islam memang melarang isteri membelanjakan hartanya untuk rumah tangga, bahkan jika terpaksa, ia dianggap hutang yang perlu dibayar suami. Abu Hassan berkata, Islam juga tidak membenarkan isteri bekerja dan sebaiknya duduk di rumah menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Tokoh agama juga berpendapat perkahwinan misyar yang sekadar bertujuan menghalalkan hubungan seksual tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dianggap menghina wanita dan boleh disamakan seperti ‘pelacuran berbentuk halal’ yang hanya mempergunakan kesucian akad nikah. Malah, ia dikatakan amalan perkahwinan terburuk pernah diluluskan dalam sejarah perundangan Islam selepas perkahwinan mutaah yang menimbulkan kontroversi. Amalan itu tidak sesuai sama sekali di negara ini, terutama kebelakangan ini wanita terpaksa berdepan pelbagai dilema suami yang mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkan anak isteri sesuka hati tanpa membayar nafkah selepas berlaku perceraian. Mereka juga menolak dan tidak bersetuju sama sekali perkahwinan misyar diamalkan di negara ini kerana konsepnya hanya menguntungkan lelaki. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula menganggap perkahwinan misyar sebagai mengarut kerana kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil seseorang wanita sebagai isteri. “Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan kerana sepanjang pengetahuan saya, belum pernah berjumpa dengan amalan perkahwinan seumpama ini tambahan ia lebih teruk daripada mutaah. “Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar. Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita. Jadi perkahwinan misyar tidak harus dibolehkan apatah lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan,” katanya. Dalam hubungan ini, sungguhpun ada wanita yang merelakan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk melepaskan nafsunya. Tidak dapat dibayangkan betapa perkahwinan seumpama itu boleh mengkucar-kacirkan institusi keluarga yang semakin menuju kehancuran. Jika dibenarkan, mudahlah wanita dikahwini dan ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah. Beliau berkata, sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Makkah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan misyar. sumber : hmetro.com.my_________________
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment