Perkahwinan adalah hubungan kasih kemanusiaan yang paling suci dijaga oleh Islam. Malah, Islam sangat menjaga matlamat perkahwinan supaya dapat mewujudkan satu perjanjian yang suci murni untuk menjalankan hak-hak rumahtangga dan kekeluargaan yang diberkati. Rasulullah salallahualaihi wasalam telah bersabda; “..Perkahwinan itu adalah sunnahku, barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku..”.
Perkahwinan yang memenuhi tujuan yang baik dan mulia serta syarat-syarat perkahwinan adalah sah di sisi syara’. Ini kerana, rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya sahaja yang dapat membezakan antara akad nikah yang menepati syara' dan akad nikah yang diharamkan Islam. Dalam satu bab perbahasan feqh terhadap masalah munakahat (perkahwinan), terdapat satu topik yang membincangkan isu nikah misyar. Topik ini telah menjadi perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak Majlis Fatwa Malaysia agar mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak. Seperti kebiasaan yang berlaku mentaliti rakyat Malaysia apabila suatu isu bersabit dengan hukum-hakam, sudah tentu isu seperti ini akan mengundang perbahasan yang hangat kerana apa sahaja yang berkait dengan hukum Islam ianya bersifat sensitive. Ini kerana, hukum-hakam Islam tidak wajar ditentukan oleh pandangan-pandangan emosional kumpulan-kumpulan yang berkepentingan dalam masyarakat. Walhal ia perlu dibina atas dalil-dalil yang sah, dan kefahaman dan tafsiran yang benar terhadap dalil-dalil berkenaan.
Pandangan yang adil terhadap perkara ini hanya dapat diperolehi apabila kita mengetepikan emosi, dan cuba menganalisa alasan-alasan yang diberikan berdasarkan al Quran dan Sunnah serta pertimbangan maqasid syar'iah secara objektif. Sebenarnya masalah nikah misyar telah lama hangat diperkatakan oleh masyarakat dunia sebelum ini dan isu ini mula mendapat perhatian di Malaysia apabila Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita bujang dan andartu. Pelbagai pandangan samada pro atau kontra dikaitkan dengan isu ini. Justeru itu, penulis ingin mengajak para pembaca untuk meneliti pandangan ulama Islam berhubung dengan masalah ini. Sebelum itu, penulis ingin membetulkan sebutan istilah ini kerana media cetak bertulisan rumi telah mengejanya ‘misyar’ maka ada yang menyebut mi+syar. Sebenarnya kita perlu menyebut mis+yar sebagai kalimah Arab yang tepat dibincangkan saat ini dan bukan mi+syar. Hukum nikah misyar iaitu perkahwinan bersyarat yang menggugurkan tanggungjawab suami berkaitan nafkah atau tempat tinggal atau keduanya, boleh dikatakan sebagai fonomena baru dalam feqh disebabkan faktor-faktor semasa. Ada yang menghalalkannya, ada juga yang mengharamkannya, tidak lupa juga ada yang bersikap untuk tidak membuat keputusan yang jelas.
Perkahwinan misyar memberikan maksud bahawa suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit, pakaian yang cukup dan hanya sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab. Amalan sebegini dibenarkan dan pernah berlaku berdasarkan situasi maslahah di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin sedangkan mereka mempunyai pekerjaan yang kukuh untuk menyara hidup sendiri. Untuk mendapatkan keputusan yang jelas hasil daripada kalangan para ulama’ yang berusaha mengeluarkan keputusan syara’ secara bertanggungjawab samada perkahwinan ini boleh diterima secara sah atau tidak, maka perlulah ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara'. Antara syarat-syarat yang dikeluarkan oleh Dar al Ifta' al Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir) untuk memastikan bahawa perkahwinan misyar itu sah ialah:-Pertama: Wujudnya kerelaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri. Jika tidak, ia merupakan kezaliman yang akan menyebabkan kemudharatan dihadapi oleh kehidupan isteri dan anak-anaknya.Kedua: Lafaz tujuan perkahwinan tersebut mengandungi maksud perkahwinan yang berterusan dan menunjukkan bahawa ia tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.Ketiga: Adanya wali yang dipertanggungjawabkan untuk pihak pengantin isteri.Keempat: Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang melengkapi syarat-syarat persaksian dan memenuhi kriteria sebagai saksi yang adil.Kelima: Perkahwinan itu diisytiharkan kepada umum dengan cara yang pelbagai.
Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara' ini maka perkahwinan misyar dan apa jua istilah nama perkahwinan yang disandarkan kepadanya, maka ia adalah perkahwinan yang sah selagi mana perkahwinan ini tidak diterhadkan kepada tempoh tertentu. Namun, apabila pihak isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah diberikan oleh syara' seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk suami bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut adalah harus di sisi syara' sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidatina Sa'udah radhiallahu anha. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya Rasulullah salallahualaihi wasalam bermalam di rumah beliau kepada Sayyidah Aisyah radhiallahu anha.
Keharusan nikah ini atas sebab-sebab berikut:1. Sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan risalah Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam ini sebagai penutup segala risalah dan Allah telah menurunkan al Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada di dalamnya (hari kiamat). Oleh itu, tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaianya di dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam (al Quran).
2. Di sana hanya ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syara'. Oleh itu, selain daripada perkahwinan yang sah di sisi syara', maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Firman Allah Taala : “..Dan mereka yang menjaga kehormatannya. kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas..”(Al Mukminun 5-7)
3. Seseorang isteri itu mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu.
Oleh itu, setiap syarat yang dibuat tanpa menafikan tujuan asas dan maksud utama bagi perkahwinan tidaklah sama sekali dapat mencacatkan akad nikah atau membatalkannya. Dar al Ifta' (Majlis Fatwa Mesir) tidak bermaksud melalui fatwa ini untuk memaksa masyarakat memilih jalan perkahwinan sebegini. Mereka hanya bertanggungjawab untuk menerangkan hukum-hukum syara' yang benar dan sahih bersumberkan al Quran dan as Sunnah serta pendapat para ulama’ muktabar daripada mazhab terdahulu.
Pandangan Feqh Mengenai Perletakkan Syarat Dalam Akad Nikah:• Secara umumnya semua mazhab berpandangan sekiranya syarat yang diletakkan adalah bertepatan dengan objektif serta maksud perkahwinan maka ianya dibolehkan.• Sekiranya syarat tersebut bertentangan dengan objektif serta maksud perkahwinan maka ianya terbatal dan syarat tidak terpakai.
Pengesyoran beberapa ilmuan Islam supaya nikah misyar ini dipraktikkan di Malaysia timbul kerana ramai wanita yang bekerja dan mempunyai harta, malangnya masih tidak berkahwin. Sedangkan kehendak diri untuk memiliki suami amat mendesak bahkan ada yang mencari jalan maksiat untuk memenuhi fitrah tersebut. Apapun reaksi masyarakat terhadap isu nikah misyar ini sebenarnya sangat bergantung kepada niat pihak lelaki dan wanita yang terlibat. Sekiranya ia dilakukan demi tuntutan mencari kerukunan yang soleh. Namun jika matlamat itu sekadar mahu memenuhi kuota perkahwinan bagi wanita janda dan andartu, ia tidaklah haram tetapi ia bukanlah idea yang bijak untuk menangani jenayah sosial di Malaysia.
Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam sendiri, walaupun dipinang oleh janda kaya Siti Khadijah tetapi tidak bermakna Nabi Muhammad mengamalkan nikah misyar. Nabi masih menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, mencukupkan dan mencari nafkah untuk isterinya. Bagaimanapun, isu perkahwinan miyar bukanlah merupakan isu yang besar sebagaimana yang digembar-gemburkan. Masih banyak perkara lain boleh difikirkan lebih utama berbanding isu perkahwinan seperti ini. Perkara khilafiyyah seperti ini sebenarnya sengaja dijadikan bahan sensasi oleh media-media tempatan kepada masyarakat awam sehingga mereka menjadi keliru tentang perkara apakah yang perlu dahulu diutamakan.
Friday, April 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment