Friday, April 4, 2008

bab tiga belas: Apa Beza Nikah Misyar, Suami Pinjam ,Tabung Sperma

KISAH yang dipaparkan minggu ini bukan dua cerita seperti yang berturut-turut minggu lepas mengenai anak-anak yang lupakan ibu bapa setelah berumah tangga, yang bertajuk `anak disekat jujmpa ibu lepas kahwin’ atau `jangan ugut suami bencikan ibu’.

Namun kisah minggu ini agak berlainan sedikit, ia merupakan luahan hati seorang pembaca, selain menjadi pembaca setia DCCK, yang saya namakan Nurameera, beliau juga seorang penulis terkenal, dan katanya dia merupakan orang yang paling sesuai memperkatakan isu kahwin misyar ini, kerana kedudukan dirinya sendiri. Bagaimana pun tak perlulah saya ceritakan siapa beliau sebenarnya biarlah kita baca pandangan beliau seperti yang dipaparkan di bawah ini untuk menjadi renungan kita bersama.

Katanya dia begitu tertarik hati dengan isu hangat yang dipaparkan dalam akhbar akhir bulan Mei lalu iaitu mengenai isu kahwin misyar yang menjadi perbincangan panas kaum lelaki hingga menarik perhatian Sheikh Azhar Dr. Mohamed Sayed Tantawi untuk memberi pandangan beliau. Demikian menurut Nurameera dalam e-melnya kepada penulis.

``Tidak keterlaluan kalau saya katakan isu perkhwinan tak kiralah berpoligami atau yang pernikahan misyar ini sentiasa menarik perhatian kaum lelaki untuk membincangkannya selain menjadi tajuk hangat perbincangan mereka. Kaum lelaki seolah-olah mendabik dada memberitahu kaum wanita, bahawa mereka banyak keistimewaan dan kelebihan hidup baik di dunia ataupun akhirat diberikan oleh Allah berbanding wanita.

``Kata mereka itu baru kehidupan di dunia, belum lagi di syurga, mereka akan disediakan bidadari jelita, kaum wanita dapat apa? Jadi mereka boleh berbuat apa sahaja dalam kehidupan ini, kerana kelebihan dan keistimewaan dilahirkan sebagai lelaki.

``Namun pandangan ikhlas yang saya ingin berikan di bawah ini baik untuk dipertimbangkan oleh gadis-gadis sama ada yang masih muda remaja ataupun yang sudah lanjut usia. Terutama kepada ibu-ibu tunggal yang belum tahu secara lebih mendalam tentang perkahwinan misyar ini sebenarnya.’’

Demikian tambah beliau lagi ketika kami berbual di telefon baru-baru ini setelah beliau membaca banyak rencana di akhbar yang membincangkan pasal nikah misyar dan ramai pula kaum lelaki yang menyokongnya, tidak kurang persatuan ibu tunggal.

``Pada pandangan saya masih ramai gadis yang tidak faham apa sebenarnya perkahwinan misyar ini, di mana status mereka dan apa kesudahan hidup mereka nanti, jika perkahwinan itu mereka terima. Dan yang lebih penting apakah mereka tahu tujuan nikah misyar ini diwar-warkan ataupun diwujudkan di kebanyakan negara-negara Islam rantau Teluk.

``Pada pandangan saya, perkahwinan misyar ini lebih banyak memihak dan berfaedah kepada kaum lelaki saja bukan kepada kaum wanita. Jadi sebelum wanita setuju pernikahan misyar ini fikirkan masak-masak tanggungjawab yang bakal mereka pikul nanti dan jangan salahkan orang lain pulak, atau jabatan agama kerana mengizinkan mereka bernikah.

``Daripada apa yang saya dapat rumuskan dari setelah membaca beberapa rencana yang dipaparkan jelaslah, nikah misyar ini adalah pernikahan yang semata-mata bertujuan untuk menghalalkan persetubuhan, dan lebih menarik dengan pernikahan ini ia langsung tidak ada sebarang ikatan tanggungjbawab material, termasuk tanggungjawab emosi ataupun moral daripada kedua belah pihak, sama ada lelaki ataupun perempaun.

``Sedangkan tanggungjawab merupakan perkara utama yang wujud dalam fitrah perkahwinan kepada seorang lelaki terhadap wanita yang dinikahinya. Kalau lelaki berkahwin dan tidak tahu tanggungjawab kepada keluarganya, apa akan jadi kepada keluarganya nanti?

``Dengan erti kata yang lebih mudah, atau secara kasarnya, hubungan lelaki dan wanita melalui pernikahan cara ini lebih kurang sama macam hubungan jantina dalam dunia haiwan. Apabila sampai masa untuk membiak, maka haiwan-haiwan itu pun mengawanlah. Sesudah itu, haiwan jantan meninggalkan haiwan betina.

``Mata tinggallah haiwan betina itu bukan sahaja untuk mengurus dirinya bahkan juga melindungi dan mencari makan untuk anak-anak hasil hubungannya itu. Bahkan dalam habitat-habitat tertentu, si ibu terpaksa melindungi anak-anaknya daripada dimakan oleh si bapa. Jadi, andai kata ada ibu-ibu tunggal (khusus, presidennya) yang berharap pernikahan ini akan dapat memberikan mereka rakan untuk dijadikan tempat mencurah gundah-gulana di hati, mereka sebenarnya under a delusion bak kata orang putih - menipu diri sendiri.

``Bahkan Dato Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan pun mengiktirafkan pernikahan misyar ini adalah untuk seks. Seks semata-mata tidak lebih daripada itu. Apakah kaum wanita sanggup? ``Oleh kerana pernikahan ini semata-mata untuk seks, sudah pastilah ia dapat menghalang perbuatan maksiat, khususnya di kalangan remaja. Di Malaysia ini memang banyak berlaku maksiat sebab itu kita sering membaca berita tentang pembuangan bayi di akhbar-akhbar.

``Rumah- rumah perlindungan wanita, antaranya seperti ‘Rumah Solehah’ juga penuh dengan ibu-ibu yang mengandung tanpa suami. Tetapi pembaca mestilah ingat penghuni-penghuni rumah itu bukanlah dari golongan wanita profesional yang menjadi tumpuan perbincangan Prof Datuk Dr. Mahmud Zuhaidi Abdul Majid tentang pernikahan Misyar ini.

``Untuk pengetahuan semua wanita atau gadis profesional tidak menimbulkan masalah kerana kebanyakan mereka terlalu dewasa untuk terjerumus ke lembah itu apa lagi menghuni Rumah Solehah. Mereka amat rasional, banyak tanggungjawab dan terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk membuang masa membuat maksiat.

``Kalau tak percaya tanyalah Presiden Sisters in Islam, Dato’ Zainah Anuar, Pengerusi Suruhanjaya Bursa Saham Malaysia, Dato’ Azalina Othman Said, Menteri Belia dan Sukan kita atau pun Siti Nurhalizah puteri pop kita yang sudah bergelar jutawan tu. Mereka antara tiga contoh wanita profesional yang berjaya dan masih belum berumah tangga. Begitu juga ramai wanita profesional lain yang memegang jawatan-jawatan tinggi di jabatan-jabatan, kementerian mahupun di syarikat swasta.

``Golongan yang bermasalah adalah pelajar-pelajar (termasuk dari IPTI) dan gadis-gadis yang tidak berpendidikan dan berpendapatan rendah atau pekerja-pekerja di pusat-pusat hiburan, anak-anak dari keluarga bermasalah atau ibu-ibu tunggal yang ketandusan seks.

``Tidak keterluan kalau dikatakan termasuk para isteri yang tidak bahagia di samping suami masing-masing, sama ada berpunca daripada masalah kewangan, emosi ataupun masalah kepuasan seks. Merekalah yang kerap ditangkap khalwat di dada-dada akhbar. Bukan wanita professional. Kalaupun mungkin ada jumlahnya cuma sekelumit sahaja.

``Namun kalau pernikahan jenis ini hendak diterima pakai oleh jabatan agama Islam di sesebuah negeri, siapa akan bertanggungjawab ke atas anak-anak nikah misyar yang bakal dilahirkan nanti? Adakah mereka menjadi tanggungjawab jabatan agama negeri atau kerajaan negeri? Sebab kita sedia maklum siayah tidak mahu pikul beban membesarkan anak-anak tersebut, mereka tidak boleh dihadapkah ke mahkamah syariah apa lagi dijatuhi hukuman penjara sebab tidak beri nafkah anak. Kerana mereka nikah Misyar.

``Akibatnya sudah pastilah jumlah anak-anak yang bakal dilahirkan tentulah berlipat kali ganda ramainya daripada sekarang sedangkan gadis-gadis itu tidak berkemapuan untuk menanggung beban memelihara anak. Atau adakah bayi-bayi itu akan diletak di bawah program anak angkat? Jika terlalu ramai, adakah kita akan mengeksport mereka dan jadikan ini sebagai satu industri negara? Oops! Maaf !

``Bagi wanita profesional yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi pula, pernikahan Misyar ini memang menguntungkan mereka. Sebabnya amat banyak antaranya;

``Pertama, anggaplah lelaki yang nikah misyar ini sebagai penderma sperma. Kalau mereka tuntut bayaran, taraf mereka dengan sendirinya jatuh kepada taraf lelaki gigloo. Kedua, tak perlu turun naik mahkamah syariah berebutkan anak. Ketiga, pernikahan jenis ini tidak membebankan wanita-wanita profesional yang sibuk itu dengan tanggongjawab sebagai suri rumah. Keempatnya, mereka tidak perlu melayan kerenah atau ego lelaki sebab dia datang sekejap untuk memberi khidmat dan kemudiannya pergi.

``Kelima, lelaki itu tidak boleh menuntut harta sepencarian sebab dia tidak menyumbang kepada pendapatan keluarga. Keenam, wanita ini tidak terikat kepada lelaki tersebut dalam erti kata perkahwinan normal yang menuntut kepatuhan maksima di pihak isteri. Dia bebas membuat apa dia sesuka hati tanpa susah payah meminta izin apabila dia mahu melakukan sesuatu kerana dia yang menyara kehidupan keluarganya.

``Sebenarnya ada banyak lagi kebaikan kepada wanita profesional tetapi cukuplah setakat enam ini sahaja sebagai contoh mudah untuk dijadikan bahan renongan bersama kita bersama terutama mereka yang teringinkan pernikahan Misyar.

``Pokoknya, mesti ada perjanjian atau kontrak seperti kata oleh Dato’ Nik Aziz. Kontrak pula mesti menguntungkan kedua-dua belah pihak supaya tidak timbul dakwa dakwi kemudian hari. Baik pihak lelaki mahupun wanita.

``Cuma masalahnya, adakah lelaki begini, khusunya lelaki profesional seperti kata Prof Datuk Dr. Mahmud Zuhaidi bersedia menjadi suami Pernikahan Misyar kepada wanita professional ini? Atau, sanggupkah satu ketika nanti dia membenarkan anak-anaknya sendiri menjadi isteri atau suami Misyar?

``Biasanya sudah pasti ibu bapa profesional tidak akan memilih lelaki sembarangan untuk menjadi ayah kepada anak-anak mereka. Islam menekankan sekufu dalam perkahwinan – dari segi pemikiran, pendapatan dan keturunan.

``Bak kata Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew, hanya ibu bapa yang bergeliga otaknya sahaja yang akan menghasilkan anak-anak yang begeliga otaknya. Sebab itulah di Amerika Syarikat, mereka yang mahu menderma sperma dikehendaki melalui satu ujian IQ dan juga kesihatan. Butiran tentang penderma juga dicatat dengan jelas. Cara ini memang haram di Malaysia, namun kini ia boleh dilakukan, jawapannya ialah suami Misyar. Jadi bersediakan lelaki profesional di Malaysia menjadi suami Misyar?

``Jika bersedia, wajarlah kita menubuhkan unit khas, jabatan atau apa saja untuk kumpulkan lelaki professional bagi dijadikan suami Misyar, secara sah bukan tabung sperm seperti di Amerika. Dengan wujudkan unit khas ini mudahlah wanita professional yang memerlukan anak atau khidmat mereka membuat pilihan.’’ Demikian menurut pandangan Nurameera tentang pernikahan Misyar.

Teringat lebih 15 tahun lalu saya pernah memaparkan pandangan ikhlas seorang gadis bernama Nor yang ingin mencari suami orang untuk dipinjam dijadikan suaminya sementara, syaratnya setelah dia selamat melahirkan anak, maka gugurlah talaknya. Katanya dia tak mahu suami cuma mahukan zuriat. Kerana emaknya mahu dia ada anak sendiri.

Sebab utama Nor tak mahu suami cuma mahukan anak saja kerana dia mendapati ramai suami kini tidak bertanggungjawab. Namun hasrat Nor sudah tentu mendapat tentangan keras daripada ramai kaum lelaki, kerana terasa diri mereka terhina. Mereka rata-rata menyalahkan Nor kerana tidak faham apa fungsi suami dalam Islam sebenarnya.

Tetapi apa pula pandangan mereka dengan cadangan suami pernikahan Misyar ini, rasanya tidak jauh bezanya dengan suami pinjam sementara mendapatkan anak saja, cuma carinya saja yang berbeza tetapi matlamatnya sama. Fikirkanlah apakah kaum lelaki professional mahu diri mereka menjadi suami Misyar atau suami pinjam? Fikirkanlah.
(sumber: www.dcckmona.com)

bab duabelas: kahwin misyar

Perkahwinan misyar upaya bendung maksiat?
Saidatul Amani Fri May 26, 06 3:35:34 pm MYT
ebut sahaja perkataan poligami kebanyakan wanita akan `panas telinga'. Sukar bagi kebanyakan wanita terutama yang bergelar isteri untuk menyebut perkataan tersebut dengan hati yang ikhlas dan reda. -->-->
Tetapi jika ia dikaitkan dengan hukum yang jelas dalam al-Quran, kelantangan bantahan sebilangan besar wanita ini akan terhenti. Pendek kata masalah poligami itu tidak akan selesai selagi ada golongan lelaki dan wanita di dunia ini.
Kini timbul pula isu baru tentang perkahwinan misyar. Pada mulanya, penulis juga terkejut dengan maksud perkahwinan tersebut kerana baru pertama kali mengetahui akan maksudnya.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Ah! bertuah suami yang menikmati perkahwinan misyar. Penulis tidak berhajat membantah cadangan tersebut tetapi pihak berkenaan perlu memperhalusi cadangan itu. Apakah perkahwinan misyar itu realisitik dengan fenomena wanita di Malaysia?
Sehari selepas laporan itu, Dewan Muslimat PAS menolak cadangan supaya perkahwinan misyar dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.
Ketuanya, Azizah Khatib Mat berkata, masalah wanita tidak berkahwin di negara ini masih terkawal dan tidak perlu diatasi melalui cara tersebut.
"Cara itu tidak sesuai dipratikkan di negara ini dan kita tidak perlu mengikutinya walaupun ia sudah lama dipraktikkan di negara-negara Arab," katanya.
Masalahnya, mengapa perlu kepada perkahwinan misyar? Apakah rata-rata wanita yang berstatus janda dan andartu amat menyusahkan negara atau bersikap keterlaluan sehingga menggadaikan maruah agama dan diri?
Penulis tidak menyanggah cadangan daripada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mendakwa perkahwinan misyar dapat mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Selain itu, ia juga dianggap mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.
Ada benarnya alasan tersebut. Tetapi apakah jaminan perkahwinan misyar itu boleh menyelamatkan iman dan ketaatan para isteri terhadap suaminya?
Suami tidak perlu memberi nafkah zahir tetapi cukup memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Ok, mungkin para isteri masih boleh tersenyum dengan keistimewaan suami hasil daripada perkahwinan misyar.
Tetapi, siapa pula yang perlu bertanggungjawab menunaikan nafkah zahir terhadap anak-anak? Apakah ini juga menjadi tanggungjawab isteri? Perbelanjaan lampin, susu, pakaian, persekolahan, makan, perbelanjaan harian dan sebagainya.
Penulis yakin, sejauh mana kasih sayang dan ketaatan isteri terhadap suaminya, jika semua masalah dibebankan ke atas kepala isteri, sudah pasti kesabaran dan ketaatan seorang isteri akan tercabar.
Bibit-bibit kasih sayang akan mula tercalar apabila hati sudah mula berkata-kata - daripada aku menanggung semua ini lebih baik aku tak payah kahwin!
Mulalah episod bermasam muka dengan suami, mengata sikap suami, tak puas hati, dendam dan sebagainya. Walhal masa nak kahwin dulu, `I Love U, I sanggup buat apa sahaja asalkan I dapat U'. Tapi apabila setiap hari terpaksa keluar duit menanggung diri sendiri dan anak-anak, hilang Love U yang tinggal menyampah I tengok muka U'.
Lama kelamaan berlaku perceraian. Anak-anak yang masih kecil yang masih tidak tahu erti penderitaan dan kesengsaraan, tetap menagih kasih sayang daripada ibu bapa mereka.
Jika mereka tidak mendapat belaian dan kasih sayang daripada ibu bapa, sudah tentu mereka akan mencari kasih sayang itu di luar. Maka terjebaklah mereka dalam kancah gejala sosial.
Jika begini jadinya, apakah perkahwinan misyar benar-benar dapat mengurangkan perlakuan maksiat?
Sistem negara
Penulis beranggapan masalah wanita yang ramai tidak berkahwin mungkin berpunca daripada diri sendiri berikutan sistem negara yang tidak berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
Dengan pangkat tinggi, gaji besar, kuasa, harta banyak siapa berani dekat wanita seperti ini. Tentu lelaki yang mahu menjadikan mereka isteri, mempunyai harta kalau tak sebukit mesti sebusut.
Wanita itu sendiri mungkin memandang rendah kepada golongan lelaki yang setakat gaji RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, apatah lagi yang hanya bergaji tiga angka saja. Ini mungkin antara punca mengapa wanita ramai yang masih tidak berkahwin.
Sekilas pandang di mana-mana jabatan kerajaan, swasta dan korporat peratus wanita yang bekerja mengatasi golongan lelaki.
Ini juga menimbulkan masalah terhadap lelaki. Daripada jawatan buruh hingga setinggi-tinggi jawatan, pengurus, pengarah urusan, setiausaha sulit, canselor semuanya telah diteroki oleh wanita.
Begitu juga dengan jawatan yang mencabar seperti juruterbang, kapten, inspektor, komander, pengawai bomba, pemandu bas wanita sudah menceburinya. Di sinilah kerusi untuk diisi oleh lelaki sudah hilang peratusnya. Siapa yang harus dipersalahkan?
Wanita, lelaki atau sistem negara? Jika sistem negara kita berpandukan al-Quran dan sunnah sudah tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Alangkah cantiknya, jika tugas wanita hanya dikhususkan kepada jiwa dan sentimen wanita sahaja seperti jururawat, guru, kerani, pakar sakit puan.
Kerjaya yang mencabar difokuskan kepada lelaki. Rasanya jika perkara ini dilaksanakan tidak ramai lelaki atau suami yang menganggur. Masalahnya, dalam sesi temu duga golongan wanita lebih diminati untuk diambil bekerja. Kalau alasan wanita lebih rajin bekerja, tak kurang juga lelaki yang hebat apabila menjalankan tugas.
Penulis yakin lelaki tidak ramai yang menganggur jika peluang kerja itu diberikan seluas-luaskan kepada mereka. Begitu juga janda atau andartu tidak akan terjerumus dalam kancah maksiat jika negara melaksanakan sistem berpandukan al-Quran dan sunnah.
Penulis juga yakin perkahwinan misyar itu tidak wujud jika sistem negara dilaksanakan mengikut lunas-lunas Islam sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah.
Apa kata kalau pencadang melaksanakan dahulu perkahwinan misyar, buktikan bahawa cadangan ini akan mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat. Belum cuba belum tahu!

(sumber: harakahdaily.net)

bab sebelas: nikah misyar dibenar agama

Oleh Nasir HassanKOTA BHARU: Perkahwinan misyar dibenarkan agama dan tidak bercanggah dengan hukum Islam, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Malah, Mursyidul Am Pas itu berkata, ia terletak pada persetujuan seseorang wanita yang hendak dikahwinkan mengikut cara berkenaan.“Yang penting, Islam tidak menghalang umatnya berkahwin mengikut kaedah misyar. Jika perempuan yang dikahwinkan itu bersetuju suaminya tidak perlu memberi nafkah zahir kerana cukup dengan apa yang ada padanya, maka tiada masalah nak kahwin cara misyar itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil bahawa perkahwinan misyar tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin misyar supaya membuat perjanjian bertulis mengenai kesediaan wanita yang ingin dikahwini bagi mengelak timbul kesan pada masa depan.“Wanita perlu membuat pengakuan bertulis bahawa dia sanggup tidak diberi nafkah zahir atau melakukan giliran kerana bersedia menanggung risiko cukup apa yang ada padanya,” katanya.Pokok pangkalnya, katanya, ia terletak pada kesediaan seseorang perempuan yang hendak dikahwinkan itu sendiri.Ditanya perkahwinan cara demikian memberi gambaran menghina wanita kerana cara itu dilihat sebagai lebih mementingkan kepuasan seks semata-mata, Nik Abdul berkata: “Perkara itu tidak berbangkit kerana wanita itu sendiri yang bersetuju berkahwin cara begitu. Ia tidak salah dari segi hukum.“Hina macam mana kalau perempuan sendiri izin. Itu hak perempuan. Kalau perempuan itu nak bagi duit, nak bagi rumah (kepada suaminya) kerana dia kaya... tak jadi masalah. Itu hak dia,” katanya.Sumber: Berita Harian Online

bab sepuluh: Mengamati Polemik Nikah Misyar

Perkahwinan adalah hubungan kasih kemanusiaan yang paling suci dijaga oleh Islam. Malah, Islam sangat menjaga matlamat perkahwinan supaya dapat mewujudkan satu perjanjian yang suci murni untuk menjalankan hak-hak rumahtangga dan kekeluargaan yang diberkati. Rasulullah salallahualaihi wasalam telah bersabda; “..Perkahwinan itu adalah sunnahku, barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku..”.
Perkahwinan yang memenuhi tujuan yang baik dan mulia serta syarat-syarat perkahwinan adalah sah di sisi syara’. Ini kerana, rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya sahaja yang dapat membezakan antara akad nikah yang menepati syara' dan akad nikah yang diharamkan Islam. Dalam satu bab perbahasan feqh terhadap masalah munakahat (perkahwinan), terdapat satu topik yang membincangkan isu nikah misyar. Topik ini telah menjadi perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak Majlis Fatwa Malaysia agar mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak. Seperti kebiasaan yang berlaku mentaliti rakyat Malaysia apabila suatu isu bersabit dengan hukum-hakam, sudah tentu isu seperti ini akan mengundang perbahasan yang hangat kerana apa sahaja yang berkait dengan hukum Islam ianya bersifat sensitive. Ini kerana, hukum-hakam Islam tidak wajar ditentukan oleh pandangan-pandangan emosional kumpulan-kumpulan yang berkepentingan dalam masyarakat. Walhal ia perlu dibina atas dalil-dalil yang sah, dan kefahaman dan tafsiran yang benar terhadap dalil-dalil berkenaan.
Pandangan yang adil terhadap perkara ini hanya dapat diperolehi apabila kita mengetepikan emosi, dan cuba menganalisa alasan-alasan yang diberikan berdasarkan al Quran dan Sunnah serta pertimbangan maqasid syar'iah secara objektif. Sebenarnya masalah nikah misyar telah lama hangat diperkatakan oleh masyarakat dunia sebelum ini dan isu ini mula mendapat perhatian di Malaysia apabila Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita bujang dan andartu. Pelbagai pandangan samada pro atau kontra dikaitkan dengan isu ini. Justeru itu, penulis ingin mengajak para pembaca untuk meneliti pandangan ulama Islam berhubung dengan masalah ini. Sebelum itu, penulis ingin membetulkan sebutan istilah ini kerana media cetak bertulisan rumi telah mengejanya ‘misyar’ maka ada yang menyebut mi+syar. Sebenarnya kita perlu menyebut mis+yar sebagai kalimah Arab yang tepat dibincangkan saat ini dan bukan mi+syar. Hukum nikah misyar iaitu perkahwinan bersyarat yang menggugurkan tanggungjawab suami berkaitan nafkah atau tempat tinggal atau keduanya, boleh dikatakan sebagai fonomena baru dalam feqh disebabkan faktor-faktor semasa. Ada yang menghalalkannya, ada juga yang mengharamkannya, tidak lupa juga ada yang bersikap untuk tidak membuat keputusan yang jelas.
Perkahwinan misyar memberikan maksud bahawa suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit, pakaian yang cukup dan hanya sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab. Amalan sebegini dibenarkan dan pernah berlaku berdasarkan situasi maslahah di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin sedangkan mereka mempunyai pekerjaan yang kukuh untuk menyara hidup sendiri. Untuk mendapatkan keputusan yang jelas hasil daripada kalangan para ulama’ yang berusaha mengeluarkan keputusan syara’ secara bertanggungjawab samada perkahwinan ini boleh diterima secara sah atau tidak, maka perlulah ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara'. Antara syarat-syarat yang dikeluarkan oleh Dar al Ifta' al Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir) untuk memastikan bahawa perkahwinan misyar itu sah ialah:-Pertama: Wujudnya kerelaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri. Jika tidak, ia merupakan kezaliman yang akan menyebabkan kemudharatan dihadapi oleh kehidupan isteri dan anak-anaknya.Kedua: Lafaz tujuan perkahwinan tersebut mengandungi maksud perkahwinan yang berterusan dan menunjukkan bahawa ia tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.Ketiga: Adanya wali yang dipertanggungjawabkan untuk pihak pengantin isteri.Keempat: Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang melengkapi syarat-syarat persaksian dan memenuhi kriteria sebagai saksi yang adil.Kelima: Perkahwinan itu diisytiharkan kepada umum dengan cara yang pelbagai.
Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara' ini maka perkahwinan misyar dan apa jua istilah nama perkahwinan yang disandarkan kepadanya, maka ia adalah perkahwinan yang sah selagi mana perkahwinan ini tidak diterhadkan kepada tempoh tertentu. Namun, apabila pihak isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah diberikan oleh syara' seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk suami bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut adalah harus di sisi syara' sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidatina Sa'udah radhiallahu anha. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya Rasulullah salallahualaihi wasalam bermalam di rumah beliau kepada Sayyidah Aisyah radhiallahu anha.
Keharusan nikah ini atas sebab-sebab berikut:1. Sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan risalah Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam ini sebagai penutup segala risalah dan Allah telah menurunkan al Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada di dalamnya (hari kiamat). Oleh itu, tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaianya di dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam (al Quran).
2. Di sana hanya ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syara'. Oleh itu, selain daripada perkahwinan yang sah di sisi syara', maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Firman Allah Taala : “..Dan mereka yang menjaga kehormatannya. kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas..”(Al Mukminun 5-7)
3. Seseorang isteri itu mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu.
Oleh itu, setiap syarat yang dibuat tanpa menafikan tujuan asas dan maksud utama bagi perkahwinan tidaklah sama sekali dapat mencacatkan akad nikah atau membatalkannya. Dar al Ifta' (Majlis Fatwa Mesir) tidak bermaksud melalui fatwa ini untuk memaksa masyarakat memilih jalan perkahwinan sebegini. Mereka hanya bertanggungjawab untuk menerangkan hukum-hukum syara' yang benar dan sahih bersumberkan al Quran dan as Sunnah serta pendapat para ulama’ muktabar daripada mazhab terdahulu.
Pandangan Feqh Mengenai Perletakkan Syarat Dalam Akad Nikah:• Secara umumnya semua mazhab berpandangan sekiranya syarat yang diletakkan adalah bertepatan dengan objektif serta maksud perkahwinan maka ianya dibolehkan.• Sekiranya syarat tersebut bertentangan dengan objektif serta maksud perkahwinan maka ianya terbatal dan syarat tidak terpakai.
Pengesyoran beberapa ilmuan Islam supaya nikah misyar ini dipraktikkan di Malaysia timbul kerana ramai wanita yang bekerja dan mempunyai harta, malangnya masih tidak berkahwin. Sedangkan kehendak diri untuk memiliki suami amat mendesak bahkan ada yang mencari jalan maksiat untuk memenuhi fitrah tersebut. Apapun reaksi masyarakat terhadap isu nikah misyar ini sebenarnya sangat bergantung kepada niat pihak lelaki dan wanita yang terlibat. Sekiranya ia dilakukan demi tuntutan mencari kerukunan yang soleh. Namun jika matlamat itu sekadar mahu memenuhi kuota perkahwinan bagi wanita janda dan andartu, ia tidaklah haram tetapi ia bukanlah idea yang bijak untuk menangani jenayah sosial di Malaysia.
Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam sendiri, walaupun dipinang oleh janda kaya Siti Khadijah tetapi tidak bermakna Nabi Muhammad mengamalkan nikah misyar. Nabi masih menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, mencukupkan dan mencari nafkah untuk isterinya. Bagaimanapun, isu perkahwinan miyar bukanlah merupakan isu yang besar sebagaimana yang digembar-gemburkan. Masih banyak perkara lain boleh difikirkan lebih utama berbanding isu perkahwinan seperti ini. Perkara khilafiyyah seperti ini sebenarnya sengaja dijadikan bahan sensasi oleh media-media tempatan kepada masyarakat awam sehingga mereka menjadi keliru tentang perkara apakah yang perlu dahulu diutamakan.

bab sembilan: kahwin misyar

ISU perkahwinan misyar yang dicadang diperkenalkan di negara ini menimbulkan polemik hebat berikutan perdebatan di kalangan ulama yang bersetuju dan sebaliknya. Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid menganggap misyar kaedah terbaik mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin selain mengurangkan maksiat. Mahmud Zuhdi mencadangkan lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar kerana kebelakangan ini ramai wanita yang mementingkan kerjaya tidak berkahwin sehingga sanggup menjadi andartu. Perkahwinan misyar yang bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi memadai hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong kenyataan itu kerana berpendapat perkahwinan misyar juga dibenarkan dan tidak bercanggah dengan hukum Islam, asalkan seseorang wanita itu bersetuju. Bagaimanapun, beliau menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin misyar membuat perjanjian bertulis mengenai kesediaan wanita yang ingin dikahwini itu bagi mengelak masalah berbangkit pada masa depan. “Wanita perlu membuat pengakuan bertulis bahawa dia sanggup tidak diberi nafkah zahir atau melakukan giliran kerana bersedia menanggung risiko. “Soal menghina wanita tidak berbangkit sama sekali kerana wanita sudah bersetuju berkahwin dengan cara itu, tambahan pula ia tidak salah dari segi hukum. “Itu hak wanita, jika dia kaya bukan setakat duit malah rumah pun dia boleh beri kepada suami yang hendak dikahwininya,” katanya. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil pula berpendapat perkahwinan misyar tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana ia bukan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ramai wanita tidak berkahwin, tambahan keadaannya belum kritikal. Sebaliknya, beliau berkata, konsep perkahwinan mengikut ajaran Islam yang meletakkan tanggungjawab menanggung isteri dan keluarga dipikul suami. Kenyataan itu turut mendapat sokongan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz kerana mengikut Islam, suami sebenarnya diwajibkan mencari nafkah untuk menanggung isteri dan keluarganya. Menurutnya, jika lelaki itu tidak berkemampuan untuk berpoligami, lebih baik dia hanya mempunyai seorang isteri Katanya, perkara mengenai tanggungjawab suami mencari nafkah untuk isteri ada terkandung dalam ayat 34 surah An-Nisa yang bermaksud: “Lelaki (suami) adalah ketua yang bertanggungjawab ke atas wanita (isteri), sebab itu Allah melebihkan kaum lelaki itu dengan beberapa kelebihan dan mewajibkan lelaki (suami) membelanjakan sebahagian hartanya untuk rumah tangga mereka.” Berdasarkan ayat itu, katanya Islam memang melarang isteri membelanjakan hartanya untuk rumah tangga, bahkan jika terpaksa, ia dianggap hutang yang perlu dibayar suami. Abu Hassan berkata, Islam juga tidak membenarkan isteri bekerja dan sebaiknya duduk di rumah menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Tokoh agama juga berpendapat perkahwinan misyar yang sekadar bertujuan menghalalkan hubungan seksual tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dianggap menghina wanita dan boleh disamakan seperti ‘pelacuran berbentuk halal’ yang hanya mempergunakan kesucian akad nikah. Malah, ia dikatakan amalan perkahwinan terburuk pernah diluluskan dalam sejarah perundangan Islam selepas perkahwinan mutaah yang menimbulkan kontroversi. Amalan itu tidak sesuai sama sekali di negara ini, terutama kebelakangan ini wanita terpaksa berdepan pelbagai dilema suami yang mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkan anak isteri sesuka hati tanpa membayar nafkah selepas berlaku perceraian. Mereka juga menolak dan tidak bersetuju sama sekali perkahwinan misyar diamalkan di negara ini kerana konsepnya hanya menguntungkan lelaki. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula menganggap perkahwinan misyar sebagai mengarut kerana kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil seseorang wanita sebagai isteri. “Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan kerana sepanjang pengetahuan saya, belum pernah berjumpa dengan amalan perkahwinan seumpama ini tambahan ia lebih teruk daripada mutaah. “Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar. Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita. Jadi perkahwinan misyar tidak harus dibolehkan apatah lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan,” katanya. Dalam hubungan ini, sungguhpun ada wanita yang merelakan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk melepaskan nafsunya. Tidak dapat dibayangkan betapa perkahwinan seumpama itu boleh mengkucar-kacirkan institusi keluarga yang semakin menuju kehancuran. Jika dibenarkan, mudahlah wanita dikahwini dan ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah. Beliau berkata, sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Makkah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan misyar. sumber : hmetro.com.my_________________

bab lapan: kahwin misyar

JUMAAT, 23 Jun 2006 – Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor telah menganjurkan satu ceramah khas bulanan pagi Jumaat ini yang bertajuk 'Kahwin Misyar' yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi bin Abdul Majid bertempat di Dewan Kuliah Pusat Pembangunan Kekeluargaan Islam, Aras Bawah, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. Ceramah bermula pada jam 8.00 pagi dan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mohd Safuan bin Nayan. Ceramah kali ini mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada warga kerja Bangunan Sultan Idris Shah.

Isu kahwin misyar yang dicadangkan diperkenalkan di Malaysia telah menimbulkan banyak kontroversi di kalangan umat Islam berikutan perdebatan hebat di kalangan ulamak yang bersetuju dan juga sebaliknya. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil turut membantah cadangan ini dan berpendapat perkahwinan ini tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana ia bukanlah penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ramai wanita tidak berkahwin. Tambahan pula perkahwinan ini mensyaratkan wanita perlu membuat pengakuan bertulis tentang kesediaan wanita untuk tidak dijanjikan nafkah zahir atau melakukan giliran(bagi kes poligami) dan bersedia menanggung risiko bagi mengelak masalah berbangkit pada masa hadapan. Maksud Misyar dibaca mis-yaar berasal daripada kata sayr yang bererti berjalan atau mengembara dan mempunyai erti banyak atau selalu berjalan, mengembara dan akhirnya kita boleh sebut sebagai pengembara. Perkahwinan misyar membawa maksud perkahwinan yang tidak terikat dengan syarat, keperluan dan hak-hak dalam perkahwinan di mana suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian dan cukup sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab. Amalan sebegini dibenarkan dan pernah terjadi berdasarkan situasi mashalahat di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin. Isu nikah misyar menjadi topik perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak pihak Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak di sini. Kesudian dan kehadiran Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi ke Jabatan Agama Islam Selangor menjelaskan lagi maksud kahwin misyar yang dicadangkan beliau kepada pegawai dan kakitangan jabatan khususnya. Beliau menjelaskan bahawa "Kahwin Misyar" yang beliau maksudkan adalah " perkahwinan di antara perempuan yang kaya, berada, berkerjaya tinggi dan belum berkahwin dengan lelaki bujang yang berperibadi dan berakhlak mulia, baik tetapi tidak kaya dan berharta. Syarat-syarat perkahwinan tetap sama iaitu ada wali, saksi, mas kahwin dan akad yang sama sepertimana perkahwinan lain. Mereka berkahwin suka sama suka tetapi lelaki itu tidak menjanjikan sara hidup yang banyak untuk wanita tersebut. Namun begitu, suami itu boleh memberi nafkah mengikut kemampuannya, terpulang kepada wanita itu untuk menggunakannya atau cukup sekadar dengan wang perbelanjaannya sendiri. Jika wanita itu berniaga, maka lelaki itu sama-sama mengusahakan perniagaan bersama isterinya. ". Beliau tidak ingin menyebut isu ini lagi kerana menurut beliau masyarakat negara ini amat beremosi dan mudah melenting apabila isu-isu sebegini disentuh. Menurut beliau, perkahwinan sebegini sebenarnya telah pun wujud di negara kita. Ia bukanlah sepertimana perkahwinan misyar yang diamalkan oleh masyarakat di negara Arab. Beliau sengaja mengemukakan cadangan ini kerana ingin mengajak semua pihak termasuk ulama', pemimpin dan masyarakat berfikir tentang isu ini. Masyarakat beranggapan, lelaki bertaraf rendah yang berkahwin dengan wanita bertaraf tinggi itu dengan istilah 'makan duit bini' dan pelbagai lagi persepsi negatif. Persepsi sebeginilah yang mengakibatkan lelaki-lelaki bertaraf rendah atau sederhana takut dan tidak berani untuk meminang seterusnya mengahwini wanita profesional berstatus dan berkerjaya tinggi. Menurut beliau, jika keadaan ini berterusan maka lebih ramailah wanita golongan profesional tidak berkahwin. Jika masyarakat dapat mengubah persepsi dan penerimaan mereka, isu ini bukanlah perkara baru dan tidak akan menjadi kontroversi.Beliau menekankan tentang bilangan wanita profesional yang tidak berkahwin adalah tinggi. Perubahan sosial masyarakat Malaysia kini lebih terbuka. Wanita telah diberi peluang untuk menceburi pelbagai bidang setinggi mungkin dan ramai di kalangan wanita berjaya menjadi usahawan, menteri, ketua jabatan dan sebagainya. Taraf profesional golongan wanita juga setanding dan mungkin lebih dari lelaki. Inilah yang membimbangkan kerana ramai dari golongan ini yang tidak mahu atau belum berkahwin. Mereka berjaya dari satu sudut dan gagal dalam satu sudut yang lain iaitu memiliki suami dan keluarga seperti wanita lain. Beliau memikirkan cadangan ini jika diterima di negara ini dapat mengatasi serba sedikit masalah ini di samping memberi jalan keluar kepada ibu-ibu tunggal yang mengalami masalah yang sama. Jika dilihat dari aspek nisbah pembangunan genetik, berapa banyak negara telah membazirkan genetik-genetik ibu-ibu yang cerdik, mempunyai IQ yang tinggi dengan membiarkan golongan-golongan wanita profesional ini tidak berkahwin hingga ke akhir hayat mereka. Jika difikirkan, wanita-wanita yang berjaya ini mampu melahirkan generasi akan datang yang cerdik pandai. Tetapi jika mereka dibiarkan tidak berkahwin, maka siapakah pewaris generasi kita akan datang yang tinggal. Sama-samalah kita fikir dan renungkan. Wallahualam

bab tujuh: kahwin misyar

(sumber: www.ArabLawInfo.com)
Definisi Kahwin Misyar:
Perkataan misyar berasal daripada perkataan arab sara, sira, sirah, tasayara, masar dan juga masirah. Ia bermaksud, berjalan dan perjalanan. Ia juga boleh diertikan sebagai pemergian.
Perkataan misyar sebenarnya ialah satu perkataan daripada bahasa dialek atau loghat (bahasa ammiyah) atau boleh juga disebut sebagai bahasa pasar yang digunakan di beberapa negara Teluk. Ia difahami sebagai: perjalanan dan tidak tinggal lama di sesuatu tempat (lihat: Yusuf al-Qaradawi, Hawl Zawaj al-Misyar, Majallah al-Mujtama’ al-Kuwaitiyyah, bil 1301, 26/5/1977, hlm. 31, Majallah al-Syariah, bil. 392, bertarikh: 8/8/1998.
Definisi Misyar Dari Sudut Terminologi/Istilah:
Perkahwinan misyar ialah perkahwinan di mana pengantin lelaki tinggal di rumah pengantin perempuan tetapi pengantin perempuan tidak pula berpindah ke rumah pengantin lelaki. Ia selalunya berlaku ke atas isteri kedua kerana si lelaki mempunyai isteri lain (isteri pertama) yang tinggal di rumah si lelaki dan menerima nafkah daripada lelaki tersebut. (lihat: al-Qaradawi, Hawl Zawaj al-Misyar)
Ia juga disebut sebagai pergi kepada si isteri tetapi tidak tinggal lama (ibid.)
Terdapat juga pandangan bahawa perkahwinan misyar ialah perkahwinan yang dibina dengan akad yang sah antara kedua-dua lelaki dan perempuan dengan adanya persepakatan tentang hubungan kelamin tanpa hidup sebumbung untuk tempoh yang berpanjangan.(Akhbar al-Dustur, 10/10/1998, tanpa nama penulis artikel)
Menurut Ahmad al-Tamimi, misyar ialah perkahwinan seorang lelaki dengan seorang perempuan dengan akad yang sah menurut syarak dan memenuhi rukun-rukunnya, tetapi pasangannya bertolak ansur dari segi tempat tinggal dan nafkah. (lihat: Usamah Umar al-Ashqar, Mustajiddat Fiqhiyyah fi Qadhaya al-Zawaj dan al-Talaq, hlm. 163)
Menurut Ibn Mani’, ianya ialah perkahwinan yang memenuhi semua syarat dan rukunnya, tetapi kedua-dua pasangan redha-meredhai dan bersetuju bahawa si isteri tidak mempunyai hak berkelamin (iaitu hak pembahagian giliran bermalam). Sebaliknya, ia bergantung kepada si suami, jika dia mahu menziarahi isterinya pada bila-bila masa atau waktu. (ibid.)
Sebagai kesimpulan:
Perkahwinan misyar dibina berasaskan tolak ansur antara kedua-dua suami isteri mengenai tempat tinggal, nafkah, pembahagian giliran bermalam antara isteri-isteri dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam perkahwinan ini, si isteri tetap memerlukan seorang suami untuk menyayanginya, melindunginya, memberikan perhatian dan kasih sayang dan dia tidak memerlukan harta dan rumah kerana telahpun memilikinya.
Oleh itu, perkahwinan misyar ialah: Akad perkahwinan antara lelaki dan perempuan yang dihalalkan oleh syarak untuk berkahwinan dengan wujudnya tolak ansur si isteri daripada beberapa hak tertentu.